Assalamualaikum
Rasa macam nak menulis pulak hari ni.
Semalam, semasa perjalanan pulang dari menyambut ulang tahun kelahiran mak yang aku sayang di sebuah restoran di utara, abah dan mak sempat kongsi dengan aku kisah tentang lelaki ini.
Kisah tentang lelaki ini menimbulkan semangat yang luar biasa kepada diriku, kisah tentang kejayaan lelaki ini yang persis kisah dongeng atau kisah yang hanya kita boleh lihat di kaca tv. Sangat sesuai untuk dijadikan inspirasi kepada mereka-mereka yang tengah down.
Lelaki ini hanyalah lelaki biasa dari pandangan mata, belajar hanya sampai darjah empat sahaja (maknanya dia tiada sijil UPSR la... PMR dan SPM lagila takdak...) Punyai hidup yang agak daif di zaman kanak-kanak, kawasan kediaman yang sering dinaiki air membawa dirinya dan keluarga berpindah ke sebuah kampung berdekatan dengan Pantai Merdeka. Dia membesar di sana bersama adik beradik yang lain, membesar dengan keadaan hidup yang serba kekurangan, namun Allah kurniakan mereka hati yang kental melawan takdir untuk mengubahnya untuk dijadikan panduan oleh orang lain.
Ditakdirkan apabila menginjak usia remaja, lelaki ini cuba keluar untuk mencari rezeki sendiri, adik beradik dia semuanya begitu terpaksa mencari rezeki sendiri walaupun usia masih muda. Lelaki ini akhirnya bekerja di laut, mengikut bot nelayan yang menangkap dan memproses bilis. Lama... agak lama jugak dia mengikut bot nelayan tersebut, hingga sampai satu masa tokey bot dah pass kat dia bot dengan awak-awak sekali dengan bisnes-bisnes sekali dan dari situlah bermulanya kisah lelaki ini.
Bot-bot nelayan yang melakukan operasi menangkap bilis ni ada satu port makan baik punya di Indonesia, diorang akan singgah makan-makan di situ jika kebetulan lalu atau berada berdekatan dengan tempat tu. Bukan bot-bot nelayan yang kecik-kecik je tau, yang besar-besar pun singgah makan di situ.
Nak dijadikan cerita, satu hari semasa makan-makan di situ, lelaki ini disapa oleh seorang kapten kapal berkulit putih, jangan ingat lelaki ini tak faham bahasa inggeris, walaupun dia kerja atas bot nelayan yang memproses bilis sahaja, dia belajar bahasa inggeris bila ada kelapangan. Kapten kapal tersebut offer lelaki ini kerja dengan dia, namun jawapannya akan diberi selepas sebulan, itu yang dipersetujui oleh mereka berdua.
Sebulan kemudian, seperti yang dijanjikan mereka pun bertemu di lokasi pertama mereka terjumpa dulu dan lelaki ini bersetuju dengan tawaran kapten berkulit putih tu dan bermulalah kerja lelaki ini dengan majikan baru dia. Rezekinya memang murah, majikan barunya mengajar bagaimana membaca peta di tengah laut, mengajarnya selok belok kerjanya hinggakan lelaki ini dihantar oleh majikannya untuk mengambil peperiksaan untuk menjadi kapten kapal yang bertauliah, masa tu dia dipandang enteng oleh mereka-mereka yang turut mengambil peperiksaan yang sama, manakan tidak dengan pakaiannya yang tidak sesuai dan senang cakap selekeh (orang kampunglah katakan...).
Nak dijadikan rezeki dia, dapatlah jadi kapten kapal yang diiktiraf, namun kejayaannya bukan semua orang boleh terima, ya la.. Lelaki ini dulu hanyalah seorang budak yang tak punya apa-apa, tiada kelulusan akademik yang tiptop, tiada harta untuk dibanggakan boleh berjaya hingga macam tu sekali. Sekarang hartanya berkepuk, tapi dia masih sama, masih low profile macam dulu, masih selekeh jugak.. hehe
Satu hari, saudara bau-bau bacang abah ada buat kenduri, kenduri kahwin kalau tak silap dan yang hadir tu banyak orang-orang kapal, abah pun tanya salah seorang dari mereka kenal tak lelaki ini, orang yang ditanya oleh abah tu pantas menjawab, kenal sangat sebab dia bos saya... Kapten *** namanya. Barulah kisah kejayaannya dicungkil untuk mengetahui apa rahsianya. Tiada rahsia, jika Allah kata ' Kun Faya Kun...' maka jadilah ia.
Panjang pulak entri aku kali ni, bukan apa, aku kagum bila orang yang tak punya apa-apa boleh berjaya dalam hidup, hidupnya totally change. Semoga dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang tengah mencari tujuan hidup, yang tengah cuba untuk membina kembali hidup yang ditimpa musibah dan jangan lupa, ujian yang DIA bagi tu tandanya dia SAYANG kita.
Alhamdulillah